Saturday, March 30, 2013

KESATUAN UMMAH

semalam, imam di masjid aku menyampaikan khutbah bertajuk kesatuan ummah. dia menyatakan kekesalan kerana rapuhnya hubungan persaudaraan sesama islam. saudara seagama sanggup diketepikan kerana hanya berbeza ideologi, parti politik, warna kulit, keturunan dan pelbagai sebab yang kecil lagi. dan yang lebih membingungkan, umat islam masih mampu berhibur sedangkan saudara-saudara mereka diburu, dibunuh, dirogol dan disembelih di palestin, syria, iraq, iran dan banyak lagi belahan dunia ini.

bagi aku, tiap-tiap masalah pokok mesti punyai masalah akarnya. di beberapa buah masjid yang menjadi tempat aku berjemaah, aku sudah nampak kenapa umat islam gagal bersatu. apabila menyembah ALLAH yang maha satu, mereka gagal untuk membentuk barisan saf yang rapat, kukuh dan lurus. mungkin nampak di mata, ini hanya perkara kecil. namun lupakah anda. perkara yang kecil akan membawa kepada perkara yang besar.

aku pernah menegur seorang pak cik di sebelah aku, memandangkan jarak agak jauh, jadi aku mengajaknya untuk merapatkan diri, namun jawapannya menyentap hatiku.

"takpelah nak. dah okay dah ni.nanti kalau rapat tak selesa pulak nak duduk tahiyyat."

aku terkedu. MASYAALLAH, apa sudah jadi dengan umat islam sekarang ni.ketika saudara-saudara kita disiksa ditindas, masih ada lagi yang memikirkan keselesaan diri ketika menghadap ILAHI. bukankah nabi SAW pernah bersabda.

"rapatkan dan luruskan saf. sesungguhnya itu sebahagian daripada solat."

melihat fenomena ini, tak hairanlan umat islam menjadi berpecah-belah. dah la yang datang berjemaah di masjid pun boleh di hitung jumlahnya. yang datang pulak tak dapat nak membentuk saf yang kukuh.

saf yang terbaik adalah ibarat saf barisan hadapan di medan perang. kukuh, lurus, dan rapat. baru terzahir kesatuan ummah yang kukuh.

hanya 1 surau yang aku seronok berjemaah. di sana, safnya kukuh, rapat dan bersatu. memang terasa nikmat berjemaah di sana. dan surau tersebut adalah milik anak muda. aku harap anak-anak muda inilah yang bakal melahirkan generasi pejuang islam.aminn

MACAM MANA UMAT NAK BANGKIT BERSATU KALAU MENYEMBAH TUHAN YANG SATU PUN MEREKA GAGAL MENJADI SATU...

Wednesday, March 27, 2013

PENDIDIK VS PENGAJAR

baru-baru ini, aku bertanya khabar dengan rakan lama. sungguh pantas masa berlalu, InsyaAllah tahun depan  dia bakal bergelar cikgu. masih ku ingat kenangan bersama dia. kami bermain, belajar bergurau dan menghabiskan rutin hidup di sekolah berasrama penuh bersama-sama. dia mengadu takut dengan tanggungjawab yang bakal dipikul. jalan senang ke syurga juga jalan senang ke neraka katanya.

aku akui kata-katanya benar. menjadi pendidik memang besar tanggungjawabnya. masa depan negara dan agama berada di dalam tangan mereka. kerana anak-anak ini ibarat kain putih. bergantung atas kita yang dewasa ini untuk mencorakkan mereka. kalau betul caranya, jadilah mereka manusia. kalau salah caranya, jadilah mereka hantu yang lebih dahsyat daripada segala hantu yang wujud.

kepada sahabatku, jadilah cikgu yang mendidik. bukan setakat mengajar. mengajar hanya lekat di kepala. namun mendidik akan meresap ke dalam hati. kenapa di hati?? kerana di situ lah tempatnya iman. jangan hanya menyampaikan ilmu sahaja, bahkan teguhkanlah iman di hati. ilmu yang tinggi jika dipandu dengan iman yang mantap nescaya akan berlabuh di jalan kebenaran.

namun yang sedihnya realiti hari ini. ramai cikgu yang hanya mengajar anak-anak murid. mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan menjadi matlamat utama. pendidikan di nilai berdasarkan keputusan peperiksaan. sedangkan nilai ilmu itu lebih tinggi daripada segala yang ada di dunia ini. mereka lupa untuk mendidik anak-anak murid mereka untuk menjadi seorang manusia. jadilah apa yang zahir di depan mata kita masa kini. keputusan peperiksaan semakin bagus namun akhlak pelajar semakin merosot.

tapi sesungguhnya tanggungjawab mendidik tidak boleh di letak di atas pundak guru-guru semata-mata kerana pendidikan bermula se awal di rumah. adalah tanggungjawab kita semua untuk mendidik. kerana kita semua akan menjadi ibu-bapa.

kepada sahabatku, usahlah takut akan tanggunjawab itu. lakukanlah tugas muliamu itu sebaik-baiknya. dan serahkanlah kepada ALLAH untuk menilainya. ALLAH berfirman  yang bermaksud :

kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH.
sesungguhnya ALLAH menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya
(surah  Ali-Imran : 159)

Sunday, March 24, 2013

KAYA HARTA VS KAYA JIWA

semua manusia ingin menjadi kaya. aku, engkau, dia, mereka dan kita semua mengimpikan kekayaan. namun, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kaya?? adakah memiliki kereta-kereta mewah dipanggil kaya?? adakah memiliki empayar perniagaan dikatakan kaya?? jawapan sebenar kepada kaya adalah KEBERKATAN.

hari ini, ramai daripada kita bertungkus-lumus mengumpulkan harta, moga-moga menjadi kaya. betapa ramai orang menghabiskan masa bekerja semata-mata untuk menjadi kaya. hingga kita lupa bahawasanya hanya ALLAH yang maha kaya yang mampu memberikan kekayaan kepada kita. tanpa rahmat dan kasih sayang NYA, kita umpama debu di padang pasir yang kering kontang.

hari ini, betapa ramai orang kaya yang tidak lena tidurnya, tidak tenang hatinya, tidak khusyuk solatnya. bimbang memikirkan tentang hartanya. hal ini kerana tiada keberkatan dalam perbuatannya. macam mana nak berkat kalau perintah ALLAH dilanggar. halal haram menjadi mainan hanya kerana ketamakan harta.

kadang-kadang tidur seorang nelayan yang miskin di atas tikar yang buruk itu lebih lenanya daripada tidur seorang kaya di atas tilam yang empuk. berkat rezekinya kerana tingginya pengharapan ke atas ILAHI. niatnya terjaga, ibadatnya lazim, syukurnya menjadi zikir dan sedekah menjadi rukun hidup.

akhir kata, kekayaan sebenarnya bukan terletak pada harta kita, namun terletak pada jiwa kita.

SEKAYA-KAYA MANUSIA, TAKKAN DAPAT MEMILIKI LANGIT DAN BUMI INI. INILAH BUKTI ALLAH ITU MAHA KAYA.

Friday, March 22, 2013

HADIAH DARI KEGAGALAN

hari ini keputusan SPM diumumkan. maka ramailah yang menyambutnya dengan tangisan gembira dan duka. pasti ramai para ibu-bapa serta guru tersenyum bangga melihat kejayaan anak murid masing-masing. terbayar sudah segala usaha dan pengorbanan. tahniah pada yang berjaya dan pada yang gagal, bacalah tulisan ini. moga-moga semangat anda kembali pulih.

kalau anda mendapat keputusan yang kurang memuaskan, beruntunglah anda. kerana Allah telah memberi rezeki lebih daripada rakan-rakan anda. kepada mereka yang berjaya, Allah memberikan rezeki yang dapat dilihat oleh mata kasar. namun rezeki yang Allah berikan kepada mereka yang gagal hanya dapat dilihat oleh mata hati. kerana Allah mengajar anda erti ketabahan, keredhaan dan kebangkitan.

ketahuilah, untuk berjaya dalam hidup, bukan bilangan A yang diperlukan. namun semangat ketabahan, keredhaan dan bangkit dari kegagalan yang diperlukan. lihatlah insan-insan yang berjaya dalam dunia ni.hampir kesemuanya tak la pandai sangat. tapi mereka punya hati yang kental. daripada kegagalan lah kita akan belajar banyak perkara. SPM hanyalah permulaan. perjalanan hidupmu masih lagi panjang.

GAGAL SPM TAKPE LAGI. JANGAN GAGAL JAWAB SOALAN MUNKAR DAN NAKIR DAH LA :)..

Sunday, March 17, 2013

TUHAN BARU MANUSIA

aku pernah berkata kat kawan aku, zaman sekarang makin banyak tuhan baru yang muncul dalam hidup manusia. sebab tu la manusia makin kurang kebergantungan mereka kepada tuhan yang sebenar.cukuplah aku senaraikan dua sahaja tuhan manusia zaman moden.

1.DUIT

sehelai kertas yg mempunyai gambar agung dan nombor ini merupakan tuhan yang paling berkuasa dalam diri umat sekarang. bayangkan betapa ramai sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mencari duit. sampai sanggup mengetepikan soal halal dan haram. dalam 1 hari berapa banyakkah masa digunakan untuk mencari duit dan berapa banyakkah masa diluangkan untuk sang pencipta serta orang sekeliling. rasuah, riba dan penindasan ibarat barah di dalam masyarakat kerana tuhan baru ini dah menguasai akal dan hati seseorang insan.

2. TELEVISYEN

kotak ajaib yang mampu berbicara ini telah lama mengalunkan jampi-jampi yang meresap ke dalam hati-hati manusia. betapa ramai yang menangis bila menonton babak-babak sedih dan adakah mata tersebut turut mengalir air mata bila membaca kitab ALLAH. betapa ramai yang sanggup menangguhkan solat semata-mata tak nak terlepas cerita kegemaran. berapa banyak kita habiskan masa untuk menghadap kotak ajaib ini dan berapa lama pulak kita habiskan masa untuk menginsafi diri.

manusia semakin jauh daripada pencipta mereka kerana mereka terlalu dekat dengan tuhan-tuhan baru ciptaan mereka. hinggakan mereka hanyut dalam dunia mereka. semoga kita semua diberikan petunjuk untuk mencari jalan yang sebenar kepada tuhan. dan semoga kita menjadi muslim yang sebenar bukan hanya sekadar muslim di dalam kad pengenalan. 

Thursday, March 14, 2013

BOIKOT dan SI BURUNG KECIL

baru-baru ini, aku berbicara dengan temanku pasal boikot. ceritanya, temanku ini mengidam nak makan burger king. aku pun turut mengidam benda yang sama. sementelah  pula, tiap-tiap hari aku melintas di depan kedai burger tersebut. lalu aku katakan kepada temanku 'kalau diikutkan nafsu, dah lama aku beli burger king ni sebiji'. lalu dia ingin tahu sebab aku berkata begitu.

dahulu sewaktu heboh isu memboikot produk israel ni, aku tak la ambik berat sangat. sebab bagi aku umat kita dah jadikan gaya hidup yahudi ni sebagai budaya bangsa.kalau setakat memboikot produk, apalah sangat kesan yang dapat diterjemahkan. lalu ditakdirkan tuhan, pandangan aku mula berubah apabila aku terbaca kisah si burung kecil dan nabi ibrahim.

menurut riwayat, sewaktu nabi ibrahim dibakar di dalam api besar oleh raja namrud. seekor burung kecil melihat kejadian tersebut. lalu dia bergegas membawa air di dalam paruhnya yang kecil untuk memadam api tersebut. perbuatan si burung kecil ini diperhatikan oleh sekumpulan burung besar. lalu mereka tertawa dan menyindir perbuatan si burung kecil

"apa guna air yang setitis tu?" perli burung besar

"untuk memadamkan api yang membakar kekasih ALLAH nabi ibrahim A.S." jawab si burung kecil.

"HAHAHA..usaha yang sia-sia! adakah api yang sebesar itu mampu dipadamkan oleh air setitis itu?" ejek si burung besar.

tahukah anda jawapan si burung kecil?

jawapannya begini :

"aku yakin bahawa ALLAH tidak akan bertanya kepadaku apakah dengan usahaku itu api berjaya dipadamkan, tetapi ALLAH pasti bertanya apa yang telah aku lakukan untuk memadamkan api tersebut"

kesimpulannya, ALLAH tidak persoalkan hasil perbuatan kita namun ALLAH akan persoalkan apakah tindakan yang kita lakukan. semoga cerita ini mampu membuka fikiran kita tentang isu yang membabitkan saudara-saudari kita di palestin. jangan lupakan untuk memanjatkan doa kepada mereka.sesungguhnya doa adalah senjata orang mukmin.

Tuesday, March 12, 2013

pendahuluan

ini merupakan blog kedua aku. blog ini hanyalah tempat untuk aku berkongsi rasa, pandangan dan pendapat aku tentang isu-isu di dalam masyarakat kita yang menarik minat aku bersama para pembaca semua. semua yang aku bicarakan hanyalah bersandarkan pemikiran aku yang terbatas ini. semoga apa yang aku bicarakan dalam blog ini mampu membuka minda para pembaca semua