Tuesday, June 4, 2013

CUKUP IKHLASKAH AKU??

semalam, dalam kerancakan berbual dengan seorang temanku, tiba-tiba dia bertanya

'ikhlas ni payah kan. orang yang ikhlas berkorban harus bersedia untuk tak dihargai.'

aku diam berfikir. lalu aku membalas

'dah namanya ikhlas. kalau timbul keinginan untuk dihargai, bukan ikhlas la namanya.'

lalu dia melanjutkan butir perbualan.

'tapi kebanyakan manusia minta dihargai tanpa disedari. contohnya, seorang ayah atau ibu, berkorban membesarkan anak-anak mereka dengan harapan apabila anak mereka senang nanti, mereka mampu menumpang kesenangan itu. namun, bila pengorbanan mereka tak di balas, mereka pasti kecewa'

makin sukar untuk aku berfikir. lalu dengan perlahan aku menjawab

'di situ lah pentingnya muhasabah diri. apabila kita rasa kecewa kerana pengorbanan tak dibalas, cuba kita muhasabah diri ini, perbetulkan niat kita. walaupun orang tak menghargai jasa kita. tapi kita harus tahu yang TUHAN sentiasa membalas apa kebaikan yang kita lakukan. walau sebesar zarah sekalipun.'

ah. alangkah mudahnya untuk berkata-kata. namun, melaksanakannya cukup sukar.
satu perbincangan yang ringkas. namun cukup membuatkan aku terfikir

'CUKUP IKHLASKAH AKU SELAMA INI??'

Monday, June 3, 2013

DI MANAKAH ANSAR DAN MUHAJIRIN??

wahai teman. izinkan aku bercerita kepada mu. sebuah kisah pada zaman dahulu. cerita ini mungkin pada mu biasa-biasa saja. tak segempak cerita fast & furious. tak sehebat cerita iron man. tapi ibrahnya sentap sampai ke lubuk hati.

engkau tahu teman. 1400 tahun dahulu, sekumpulan manusia biasa seperti mu berhijrah daripada kota mekah ke kota madinah. mereka meninggalkan keluarga, harta dan segala kemewahan. mereka hanya berbekalkan keimanan kepada tuhan dan rasul di dalam dada. berhijrah ke satu daerah asing.

dan yang paling ajaibnya, yang menyambut mereka bukan saudara-mara mereka. bahkan juga, bukan kenalan mereka. bagi yang punyai 2buah rumah, diberi sebuah kepada orang asing itu. bagi yang punyai sebuah rumah, dikongsi bersama orang asing itu. mereka mungkin berbeza darah keturunan. namun mereka berkongsi keimanan.

ya teman, mereka itu lah muhajirin dan ansar. persaudaraan yang terbina di atas tapak keimanan yang kukuh. sehingga tersebarnya islam hampir ke pelusuk sudut dunia.

wahai temanku. cuba kau berhenti seketika dari urusan duniamu. dan kau lihat sekelilingmu hari ini. apa yang sudah jadi dengan umat ini. berpecah-belah hanya kerana perkara yang kecil. saudara kita dibunuh, dirogol, disiksa. apakah tidak terdetik langsung perasaan di hati mu??apakah engkau bangga mengaku sebagai islam sedangkan engkau hanya memejam mata melihat saudaramu disiksa persis binatang?? bukankah nabi SAW pernah bersabda "tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya lebih daripada dia mengasihi dirinya sendiri". jika begitu, di manakah tahap keimanan kita??

andai muhajirin dan ansar melihat kita, mungkin mereka menangis kekesalan. ahh, memandang kita pun mereka tak sanggup. cukuplah dengan apa yang berlaku. marilah kita muhasabah diri dan membaiki ukhuwwah kita.

begitulah cerita ku teman. ku harap cerita biasa-biasa ini mampu mengetuk hati mu.

Wednesday, May 8, 2013

TERIMA KASIH TOK GURU


semalam antara hari yang sedih dalam hidup aku. sosok tubuh bernama nik aziz bin nik mat telah menyerahkan jawatan Menteri Besar Kelantan kepada timbalan beliau. aku pasti ramai insan-insan yang bersedih dengan berita ini. tapi apapun aku rasa itu keputusan yang wajar memandangkan tok guru pun mengalami gangguan kesihatan sejak kebelakangan ini.

tok guru menjadi Menteri Besar Kelantan sejak tahun 1990. 23 tahun pentadbiran beliau, banyak pembaharuan yang diperkenalkan. mengislamkan pentadbiran merupakan agenda beliau. tapi yang aku paling hormat adalah sisi kemanusian beliau.

dulu sewaktu aku masih jahil tentang islam, aku beranggapan politik dan islam itu asing. namun, selepas mendengar siri ceramah beliau, ternyata mengubah anggapan aku tentang islam. islam itu indah, lengkap dan syumul. setiap hembusan nafas kita ini kena selari dengan islam.

berapa ramai pemimpin yang selalu mengingatkan rakyatnya tentang akhirat di malaysia ini?? kalau Dr. Mahathir terkenal dengan wawasan 2020. tok guru pula terkenal dengan wawasan akhiratnya. beliau tak pernah jemu-jemu mengingatkan rakyatnya tentang akhirat.

sosok tubuh yang digeruni lawan. raut wajahnya lembut sedap mata memandang. tutur katanya dalam dan penuh bermakna. tok guru, kau merupakan hadiah dari tuhan untuk rakyat kelantan dan Malaysia.

tok guru,
walaupun kau bukan lagi di tampuk kekuasaan,
api perjuanganmu takkan pernah padam,
semangatmu akan kami genggam,
sehingga tertegak islam di bumi ini.

tok guru,
akan kami teruskan perjuanganmu,
dan akan kami wariskan kepada anak cucu kami,
semoga cita-citamu akan jadi kenyataan.

tok guru,
akan kami ceritakan kepada anak cucu kami,
dengan penuh kebanggaan,
perihal seorang ulama yang hebat,
yang penuh hidup di hari ini.

terima kasih tok guru, kami sayang tok guru

Wednesday, April 10, 2013

INDAHNYA UJIAN.

pujangga selalu berkata "hidup ini ibarat sebuah perjalanan menuju negeri akhirat". sepanjang perjalanan itu, kita akan menempuhi onak dan duri, bukit dan denai, hutan dan belukar. selagi tidak sampai ke destinasi, selagi itulah kita akan menempuhi segala halangan.

begitulah di ibaratkan sebuah kehidupan. dalam hidup ini, kita akan berdepan dengan ranjau cabaran dan dugaan. ada yang besar. ada yang kecil. walau apa cabaran sekalipun, kita harus menanganinya. kita tak boleh lari daripada hukum alam itu.

namun, sebagai manusia biasa, kita terpaksa menerima hakikat. kadang-kadang kita ini terlalu lemah untuk berdepan dengan cabaran tersebut. melalui saat-saat yang getir memang memerlukan  mental yang kuat. lalu disitu lah terletaknya kasih sayang ALLAH. tidak dibiarkan kita keseorangan. DIA selalu ada setiap masa untuk mendengar rintihan kita.

ALLAH itu maha halus perancanganNYA. bila kita jauh daripadaNYA, di uji kita dengan sedikit cubaan. untuk mendekatkan kita kepadaNYA. bila kita lemah, di uji kita dengan dugaan. untuk menguatkan iman kita. kadang-kala ALLAH menguji hambaNYA hanya untuk meninggikan darjat kita.

sungguh kita ini serba kekurangan. akal kita tak mampu berfikir sebegitu jauh untuk menilai semua ini. lalu dengan dangkalnya kita menyalahkan tuhan, kita menyalahkan takdir dan kita mengatakan tuhan itu kejam. 

wahai teman, bersangka baiklah kepada tuhan. sesungguhnya DIA maha mengetahui lagi maha menyayangi. DIA tak pernah kejam. bahkan kitalah yang selalu menzalimi diri sendiri.

Saturday, April 6, 2013

KAU SAHABAT KAU TEMAN

dalam titian perjalanan hidup, kita memerlukan satu entiti yang menjadi sumber inspirasi, motivasi dan tempat berkongsi. alangkah sumbang langkah kita andai tiada entiti tersebut. itulah pentingnya SAHABAT. sebuah persahabatan yang kukuh nilainya lebih mahal daripada segunung emas. harta boleh di cari namun sahabat sejati tiada galang ganti. 2 pemuda yang bertemu dan berpisah kerana ILAHI akan mendapat syafaat daripada ALLAH di padang masyar nanti.

di sini, aku ingin berkongsi sebuah kisah persahabatan agung di antara 2 insan yang di pandang mulia oleh ALLAH.

pada suatu malam, di dalam perjalanan yang bakal mengukir sejarah gemilang islam, nabi Muhammad SAW dan saidina Abu Bakar RA bersembunyi di dalam gua Thur. lalu saidina Abu Bakar RA menyuruh nabi Muhammad SAW berehat sambil berbaring dan meletakkan kepala di atas paha Abu Bakar. Nabi SAW pun tertidur di atas paha Abu Bakar RA. tiba-tiba Abu Bakar RA ternampak sebuah lubang yang di dalamnya terdapat se ekor ular berbisa. bimbang keselamatan Nabi SAW terancam, dia pun menutup lubang tersebut dengan tangannya. sudah naluri binatang akan menyerang bila terancam, ular tersebut pun mematuk tangan Abu Bakar RA. kesakitan tersebut telah menyebabkan Abu Bakar RA menitiskan air mata. dan air mata tersebut jatuh di pipi baginda SAW dan mengejutkan baginda SAW.

lalu baginda SAW bertanya "wahai sahabatku, kenapakah engkau menangis?"

Abu Bakar menjawab " terdapat seekor ular berbisa di dalam lubang tersebut. aku bimbang dia akan mengancam nyawa mu wahai kekasih ALLAH. lalu aku menutup dengan tapak tanganku. ular tersebut pun mematuk tanganku."

sebuah cerita yang ringkas namun di dalamnya terkandung nilai persahabatan yang tinggi. demi cinta kepada sahabat, nyawa sendiri sanggup di korbankan. persahabatan yang takkan mati walaupun jasad dah ditelan bumi.

hayati bait-bait lagu ini......




Monday, April 1, 2013

MAWAR DAN EPAL

minggu sudah, ada seorang teman bakal memulakan kerja di sebuah tempat baru. dia meminta pertolongan aku. katanya dia agak susah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. lalu aku menyuruhnya  melangkah dengan yakin, sentiasa melemparkan senyuman dan memberikan salam kepada orang sekeliling. selepas itu, selesakan diri dengan persekitaran baru dan biarkan keyakinan mempengaruhi kita.

namun masalahnya besarnya adalah keyakinan. dia dibesarkan di dalam persekitaran yang selalu memandang rendah keupayaan dia. mujurlah dia bukan jenis yang cepat melatah. pandangan orang tak menghalang dia daripada berjaya. buktinya dia 'grad' terlebih dahulu daripada aku.haha. aku tersenyum sambil memikirkan ayat. lalu aku menasihatinya

"JADILAH SEPERTI BUNGA MAWAR. USAH JADI SEPERTI EPAL."

pada mulanya dia agak sukar untuk menangkap apa yang aku maksudkan. lalu ak menyuruhnya memerhatikan sifat bunga mawar. sekuntum bunga yang cantik dipandang tetapi mempunyai duri untuk melindungi daripada tangan-tangan yang nakal. maksudnya adalah jadilah manusia yang mampu menghias dunia ini. yang seronok untuk di dekati namun mampu melindungi diri daripada pandangan-pandangan negatif.

selepas itu, aku menyuruhnya memerhatikan pula sifat epal. sebiji buah yang cantik di pandang. dengan warna merah berkilat menarik perhatian. namun apabila sudah dibelah, sekejap saja sudah rosak dan lebam apabila terdedah kepada persekitaran. maksudnya janganlah kita mudah dipengaruhi oleh persekitaran kita. biar apapun pandangan yang dilemparkan oleh orang sekeliling, kita takkan mudah tergugat.

aku percaya ramai orang di luar sana yang mempunyai masalah begini. aku harap tulisan kali ini mampu menolong mereka mengatasi pandangan negatif orang sekeliling. dan kepada temanku, selamat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh keikhlasan.




Saturday, March 30, 2013

KESATUAN UMMAH

semalam, imam di masjid aku menyampaikan khutbah bertajuk kesatuan ummah. dia menyatakan kekesalan kerana rapuhnya hubungan persaudaraan sesama islam. saudara seagama sanggup diketepikan kerana hanya berbeza ideologi, parti politik, warna kulit, keturunan dan pelbagai sebab yang kecil lagi. dan yang lebih membingungkan, umat islam masih mampu berhibur sedangkan saudara-saudara mereka diburu, dibunuh, dirogol dan disembelih di palestin, syria, iraq, iran dan banyak lagi belahan dunia ini.

bagi aku, tiap-tiap masalah pokok mesti punyai masalah akarnya. di beberapa buah masjid yang menjadi tempat aku berjemaah, aku sudah nampak kenapa umat islam gagal bersatu. apabila menyembah ALLAH yang maha satu, mereka gagal untuk membentuk barisan saf yang rapat, kukuh dan lurus. mungkin nampak di mata, ini hanya perkara kecil. namun lupakah anda. perkara yang kecil akan membawa kepada perkara yang besar.

aku pernah menegur seorang pak cik di sebelah aku, memandangkan jarak agak jauh, jadi aku mengajaknya untuk merapatkan diri, namun jawapannya menyentap hatiku.

"takpelah nak. dah okay dah ni.nanti kalau rapat tak selesa pulak nak duduk tahiyyat."

aku terkedu. MASYAALLAH, apa sudah jadi dengan umat islam sekarang ni.ketika saudara-saudara kita disiksa ditindas, masih ada lagi yang memikirkan keselesaan diri ketika menghadap ILAHI. bukankah nabi SAW pernah bersabda.

"rapatkan dan luruskan saf. sesungguhnya itu sebahagian daripada solat."

melihat fenomena ini, tak hairanlan umat islam menjadi berpecah-belah. dah la yang datang berjemaah di masjid pun boleh di hitung jumlahnya. yang datang pulak tak dapat nak membentuk saf yang kukuh.

saf yang terbaik adalah ibarat saf barisan hadapan di medan perang. kukuh, lurus, dan rapat. baru terzahir kesatuan ummah yang kukuh.

hanya 1 surau yang aku seronok berjemaah. di sana, safnya kukuh, rapat dan bersatu. memang terasa nikmat berjemaah di sana. dan surau tersebut adalah milik anak muda. aku harap anak-anak muda inilah yang bakal melahirkan generasi pejuang islam.aminn

MACAM MANA UMAT NAK BANGKIT BERSATU KALAU MENYEMBAH TUHAN YANG SATU PUN MEREKA GAGAL MENJADI SATU...

Wednesday, March 27, 2013

PENDIDIK VS PENGAJAR

baru-baru ini, aku bertanya khabar dengan rakan lama. sungguh pantas masa berlalu, InsyaAllah tahun depan  dia bakal bergelar cikgu. masih ku ingat kenangan bersama dia. kami bermain, belajar bergurau dan menghabiskan rutin hidup di sekolah berasrama penuh bersama-sama. dia mengadu takut dengan tanggungjawab yang bakal dipikul. jalan senang ke syurga juga jalan senang ke neraka katanya.

aku akui kata-katanya benar. menjadi pendidik memang besar tanggungjawabnya. masa depan negara dan agama berada di dalam tangan mereka. kerana anak-anak ini ibarat kain putih. bergantung atas kita yang dewasa ini untuk mencorakkan mereka. kalau betul caranya, jadilah mereka manusia. kalau salah caranya, jadilah mereka hantu yang lebih dahsyat daripada segala hantu yang wujud.

kepada sahabatku, jadilah cikgu yang mendidik. bukan setakat mengajar. mengajar hanya lekat di kepala. namun mendidik akan meresap ke dalam hati. kenapa di hati?? kerana di situ lah tempatnya iman. jangan hanya menyampaikan ilmu sahaja, bahkan teguhkanlah iman di hati. ilmu yang tinggi jika dipandu dengan iman yang mantap nescaya akan berlabuh di jalan kebenaran.

namun yang sedihnya realiti hari ini. ramai cikgu yang hanya mengajar anak-anak murid. mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan menjadi matlamat utama. pendidikan di nilai berdasarkan keputusan peperiksaan. sedangkan nilai ilmu itu lebih tinggi daripada segala yang ada di dunia ini. mereka lupa untuk mendidik anak-anak murid mereka untuk menjadi seorang manusia. jadilah apa yang zahir di depan mata kita masa kini. keputusan peperiksaan semakin bagus namun akhlak pelajar semakin merosot.

tapi sesungguhnya tanggungjawab mendidik tidak boleh di letak di atas pundak guru-guru semata-mata kerana pendidikan bermula se awal di rumah. adalah tanggungjawab kita semua untuk mendidik. kerana kita semua akan menjadi ibu-bapa.

kepada sahabatku, usahlah takut akan tanggunjawab itu. lakukanlah tugas muliamu itu sebaik-baiknya. dan serahkanlah kepada ALLAH untuk menilainya. ALLAH berfirman  yang bermaksud :

kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH.
sesungguhnya ALLAH menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya
(surah  Ali-Imran : 159)

Sunday, March 24, 2013

KAYA HARTA VS KAYA JIWA

semua manusia ingin menjadi kaya. aku, engkau, dia, mereka dan kita semua mengimpikan kekayaan. namun, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kaya?? adakah memiliki kereta-kereta mewah dipanggil kaya?? adakah memiliki empayar perniagaan dikatakan kaya?? jawapan sebenar kepada kaya adalah KEBERKATAN.

hari ini, ramai daripada kita bertungkus-lumus mengumpulkan harta, moga-moga menjadi kaya. betapa ramai orang menghabiskan masa bekerja semata-mata untuk menjadi kaya. hingga kita lupa bahawasanya hanya ALLAH yang maha kaya yang mampu memberikan kekayaan kepada kita. tanpa rahmat dan kasih sayang NYA, kita umpama debu di padang pasir yang kering kontang.

hari ini, betapa ramai orang kaya yang tidak lena tidurnya, tidak tenang hatinya, tidak khusyuk solatnya. bimbang memikirkan tentang hartanya. hal ini kerana tiada keberkatan dalam perbuatannya. macam mana nak berkat kalau perintah ALLAH dilanggar. halal haram menjadi mainan hanya kerana ketamakan harta.

kadang-kadang tidur seorang nelayan yang miskin di atas tikar yang buruk itu lebih lenanya daripada tidur seorang kaya di atas tilam yang empuk. berkat rezekinya kerana tingginya pengharapan ke atas ILAHI. niatnya terjaga, ibadatnya lazim, syukurnya menjadi zikir dan sedekah menjadi rukun hidup.

akhir kata, kekayaan sebenarnya bukan terletak pada harta kita, namun terletak pada jiwa kita.

SEKAYA-KAYA MANUSIA, TAKKAN DAPAT MEMILIKI LANGIT DAN BUMI INI. INILAH BUKTI ALLAH ITU MAHA KAYA.

Friday, March 22, 2013

HADIAH DARI KEGAGALAN

hari ini keputusan SPM diumumkan. maka ramailah yang menyambutnya dengan tangisan gembira dan duka. pasti ramai para ibu-bapa serta guru tersenyum bangga melihat kejayaan anak murid masing-masing. terbayar sudah segala usaha dan pengorbanan. tahniah pada yang berjaya dan pada yang gagal, bacalah tulisan ini. moga-moga semangat anda kembali pulih.

kalau anda mendapat keputusan yang kurang memuaskan, beruntunglah anda. kerana Allah telah memberi rezeki lebih daripada rakan-rakan anda. kepada mereka yang berjaya, Allah memberikan rezeki yang dapat dilihat oleh mata kasar. namun rezeki yang Allah berikan kepada mereka yang gagal hanya dapat dilihat oleh mata hati. kerana Allah mengajar anda erti ketabahan, keredhaan dan kebangkitan.

ketahuilah, untuk berjaya dalam hidup, bukan bilangan A yang diperlukan. namun semangat ketabahan, keredhaan dan bangkit dari kegagalan yang diperlukan. lihatlah insan-insan yang berjaya dalam dunia ni.hampir kesemuanya tak la pandai sangat. tapi mereka punya hati yang kental. daripada kegagalan lah kita akan belajar banyak perkara. SPM hanyalah permulaan. perjalanan hidupmu masih lagi panjang.

GAGAL SPM TAKPE LAGI. JANGAN GAGAL JAWAB SOALAN MUNKAR DAN NAKIR DAH LA :)..

Sunday, March 17, 2013

TUHAN BARU MANUSIA

aku pernah berkata kat kawan aku, zaman sekarang makin banyak tuhan baru yang muncul dalam hidup manusia. sebab tu la manusia makin kurang kebergantungan mereka kepada tuhan yang sebenar.cukuplah aku senaraikan dua sahaja tuhan manusia zaman moden.

1.DUIT

sehelai kertas yg mempunyai gambar agung dan nombor ini merupakan tuhan yang paling berkuasa dalam diri umat sekarang. bayangkan betapa ramai sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mencari duit. sampai sanggup mengetepikan soal halal dan haram. dalam 1 hari berapa banyakkah masa digunakan untuk mencari duit dan berapa banyakkah masa diluangkan untuk sang pencipta serta orang sekeliling. rasuah, riba dan penindasan ibarat barah di dalam masyarakat kerana tuhan baru ini dah menguasai akal dan hati seseorang insan.

2. TELEVISYEN

kotak ajaib yang mampu berbicara ini telah lama mengalunkan jampi-jampi yang meresap ke dalam hati-hati manusia. betapa ramai yang menangis bila menonton babak-babak sedih dan adakah mata tersebut turut mengalir air mata bila membaca kitab ALLAH. betapa ramai yang sanggup menangguhkan solat semata-mata tak nak terlepas cerita kegemaran. berapa banyak kita habiskan masa untuk menghadap kotak ajaib ini dan berapa lama pulak kita habiskan masa untuk menginsafi diri.

manusia semakin jauh daripada pencipta mereka kerana mereka terlalu dekat dengan tuhan-tuhan baru ciptaan mereka. hinggakan mereka hanyut dalam dunia mereka. semoga kita semua diberikan petunjuk untuk mencari jalan yang sebenar kepada tuhan. dan semoga kita menjadi muslim yang sebenar bukan hanya sekadar muslim di dalam kad pengenalan. 

Thursday, March 14, 2013

BOIKOT dan SI BURUNG KECIL

baru-baru ini, aku berbicara dengan temanku pasal boikot. ceritanya, temanku ini mengidam nak makan burger king. aku pun turut mengidam benda yang sama. sementelah  pula, tiap-tiap hari aku melintas di depan kedai burger tersebut. lalu aku katakan kepada temanku 'kalau diikutkan nafsu, dah lama aku beli burger king ni sebiji'. lalu dia ingin tahu sebab aku berkata begitu.

dahulu sewaktu heboh isu memboikot produk israel ni, aku tak la ambik berat sangat. sebab bagi aku umat kita dah jadikan gaya hidup yahudi ni sebagai budaya bangsa.kalau setakat memboikot produk, apalah sangat kesan yang dapat diterjemahkan. lalu ditakdirkan tuhan, pandangan aku mula berubah apabila aku terbaca kisah si burung kecil dan nabi ibrahim.

menurut riwayat, sewaktu nabi ibrahim dibakar di dalam api besar oleh raja namrud. seekor burung kecil melihat kejadian tersebut. lalu dia bergegas membawa air di dalam paruhnya yang kecil untuk memadam api tersebut. perbuatan si burung kecil ini diperhatikan oleh sekumpulan burung besar. lalu mereka tertawa dan menyindir perbuatan si burung kecil

"apa guna air yang setitis tu?" perli burung besar

"untuk memadamkan api yang membakar kekasih ALLAH nabi ibrahim A.S." jawab si burung kecil.

"HAHAHA..usaha yang sia-sia! adakah api yang sebesar itu mampu dipadamkan oleh air setitis itu?" ejek si burung besar.

tahukah anda jawapan si burung kecil?

jawapannya begini :

"aku yakin bahawa ALLAH tidak akan bertanya kepadaku apakah dengan usahaku itu api berjaya dipadamkan, tetapi ALLAH pasti bertanya apa yang telah aku lakukan untuk memadamkan api tersebut"

kesimpulannya, ALLAH tidak persoalkan hasil perbuatan kita namun ALLAH akan persoalkan apakah tindakan yang kita lakukan. semoga cerita ini mampu membuka fikiran kita tentang isu yang membabitkan saudara-saudari kita di palestin. jangan lupakan untuk memanjatkan doa kepada mereka.sesungguhnya doa adalah senjata orang mukmin.

Tuesday, March 12, 2013

pendahuluan

ini merupakan blog kedua aku. blog ini hanyalah tempat untuk aku berkongsi rasa, pandangan dan pendapat aku tentang isu-isu di dalam masyarakat kita yang menarik minat aku bersama para pembaca semua. semua yang aku bicarakan hanyalah bersandarkan pemikiran aku yang terbatas ini. semoga apa yang aku bicarakan dalam blog ini mampu membuka minda para pembaca semua